Memartabatkan Bahasa
Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris
DEFINISI
MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)
Memartabatkan
Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang
sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang
termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga
merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
Memperkukuh
Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai
bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat
nasional dan antarabangsa.
TUJUAN
MBMMBI
- Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia adalah kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
- Tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
STRATEGI
PELAKSANAAN MBMMBI
Memartabatkan
Bahasa Malaysia
Strategi
memartabatkan Bahasa Malaysia meliputi perkara-perkara berikut:
- Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia
- Asas Berbahasa (Back To Basics)
- Didik Hibur
- Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum
- Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P
- Program Bacaan
- Guru Bahasa Malaysia Berkualiti
- Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif
- Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi
- Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara
- Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi
Pendekatan Modular
Kurikulum Bahasa Malaysia
– Penguasaan asas kemahiran berbahasa diperkukuh melalui pendekatan modular
yang bersepadu, seimbang dan holistik menerusi modul P&P.
Asas Berbahasa (Basics
To Basics) –
Pengukuhan asas berbahasa dilakukan secara berstruktur dan sistematik. Asas
berbahasa pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis diperkukuh melalui modul
P&P yang menerapkan elemen menyeronokkan dalam seni bahasa. P&P
tatabahasa adalah berasaskan sistem bahasa yang betul dan dilakukan secara
bersepadu dalam konteks.
Didik Hibur – Pendekatan P&P
Bahasa Malaysia akan menyediakan suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik
melalui pelbagai kaedah. Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis,
tatabahasa dan seni bahasa akan disulam dengan dengan aktiviti penerokaan,
pencarian maklumat, pelaporan dan penghasilan produk.
Penggunaan Bahasa Malaysia
Standard Merentas Kurikulum – Penggunaan sistem bahasa yang betul
dalam mata pelajaran lain akan menyokong P&P Bahasa Malaysia. Penggunaan
dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipantau agar tidak menjejas standard
dan mutu Bahasa Malaysia itu sendiri.
Teknologi Maklumat dan
Komunikasi dalam P&P
– Penggunaan teknologi makluamt seperti perisian, e-mel, laman sembang dan
laman web dapat menyediakan P&P yang bersifat interaktif serta
nenghiburkan. Satu portal akan diwujudkan untuk menghimpunkan bahan penulisan
serta menyediakan forum bagi penggiat bahasa, para pendidik, sasterawan,
pelajar serta pengguna Bahasa Malaysia untuk berbincang, mengkaji dan mencari
maklumat tentang Bahasa Malaysia.
Program Bacaan – Program bacaan seperti
Komponen Sastera dalam Bahasa Malaysia (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah,
Bacaan Awal Berstruktur dan NILAM diteruskan. Beberapa penambahbaikan akan
dilakukan supaya pembacaan bahan sastera dapat ditingkatkan.
Guru Bahasa Malaysia
Berkualiti – Guru
yang mengajar mata pelajaran ini perlu beropsyen Bahasa Malaysia untuk
memastikan kualiti dari segi ilmu pedagogi. Guru digalakkan menghadiri kursus
peningkatan profesionalisme yang memberikan pendedahan tentang perkembangan terkini
ilmu pedagogi dan juga perkembangan bahasa daripada pakar dari dalam dan luar
negara.
Persekitaran Pembelajaran
yang Kondusif –
Pemantauan daripada aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah
dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan saiz kelas, serta keadaan
fizikal bilik darjah dan sekolah lebih kondusif untuk P&P.
Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu
dan Komunikasi –
Usaha menterjemah karya agung dari Eropah, Amerika dan Asia perlu
diperhebatkan. Melalui cara ini perluasan ilmu melalui pembacaan dalam Bahasa
Malaysia dapat dipergiat, seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan
masyarakat. Penggunaan Bahasa Malaysia juga mestilah tekal dan mantap dalam
semua urusan rasmi agar hasrat 1Malaysia terlaksana melalui identiti negara
bangsa.
Kolaborasi Antarabangsa
Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara – Satu kolaborasi yang
mantap antara Malaysia dengan negara lain akan diwujudkan dengan menubuhkan
kursi Bahasa Malaysia di universiti luar negara.
Syarat Layak Masuk Institut
Pengajian Tinggi –
Pelajar yang mengikuti pengajian di universiti hendaklah diwajibkan mendapat
kepujian dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai
syarat masuk.
MEMPERKUKUH
PENGUASAAN BAHASA INGGERIS
Strategi
memartabatkan Bahasa Inggeris meliputi perkara-perkara berikut:
- Penambahan Masa P&P Bahasa Inggeris
- Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Renda
- Asas Berbahasa (Back to Basics)
- Didik Hibur – Modul Language Arts
- Elemen Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
- Penetapan Model Bahasa Inggeris
- Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Menengah
- Sumber P&P – Makmal Komputer
- Guru : Contact Time Berkualiti
- Perkongsian dan Jaringan Guru
- Kepimpinan Sekolah
Penambahan Masa P&P
Bahasa Inggeris –
peruntukan waktu bagi SK Tahap 1 dan Tahap 2 ditambah sebanyak 90 minit,
manakala peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap 1 ditambah sebanyak
60 minit dan Tahap 2 ditambah sebanyak 30 minit. Peruntukan waktu Bahasa
Inggeris bagi Tingkatan 1 hingga 6 ditambah sebanyak 80 minit dan untuk
Malaysian University English Test (MUET) untuk Tingkatan 6 ditambah sebanyak 80
minit. Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah sebanyak 3
jam.
Transformasi Kurikulum
Bahasa Inggeris Sekolah Rendah – Transformasi Kurikulum Bahasa
Inggeris sekolah rendah menitikberatkan penguasaan literasi asas dan pengukuhan
Bahasa Inggeris melalui pendekatan modular.
Asas berbahasa (Back to
Basics) –
Kurikulum Bahasa Inggeris menitikberatkan pengukuhan penguasaan asas Bahasa Inggeris
dengan memberi penekanan kepada Phonics di samping menerapkan elemen
pembelajaran yagn menyeronokkan dalam modul Language Arts. Pengajaran tatabahasa dalam konteks diberi
penekanan khusus dalam modul tatabahasa.
Didik Hibur – Modul Language Arts
menekankan aspek didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik
dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral
speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar. Bahan bacaan estetik
seperti Sastera Kontemporari Kanak-kanak, bahan Bacaan Awal Berstruktur dan
Bacaan Ekstensif disediakan bagi mendedahkan murid kepada Bahasa Inggeris
pelbagai genre.
Elemen Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris –
Kurikulum Bahasa Inggeris akan mengintegrasi elemen matematik dan sains melalui
tema yang berkaitan dan akan menumpukan kepada istilah/kosa kata serta struktur
ayat mata pelajaran berkenaan.
Penetapan Model Bahasa
Inggeris –
model Standard British English digunakan sebagai panduan supaya setiap
guru dapat merujuk kepada standard yang sama dari segi sebutan, penulisan dan
tatabahasa.
Transformasi Kurikulum
Bahasa Inggeris Sekolah Menengah – Transformasi Kurikulum Bahasa
Inggeris akan menggunakan pendekatan modular. Setiap komponen kemahiran bahasa
mempunyai modul P&P tersendiri dan P&P tatabahasa akan diberi fokus
dalam modul Grammar.
Sumber P&P – Makmal Komputer akan
ditambahbaik dengan perkakasan dan perisian supaya boleh turut berfungsi
sebagai makmal bahasa. Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam P&P Bahasa
Inggeris melalui penggunaan perisian yang sesuai.
Guru – Bagi meningkatkan contact
time yang berkualiti antara guru – murid, seorang guru Bahasa Inggeris gred
DG41 akan disediakan bagi membantu guru yang mengajar kelas berenrolmen besar
(contoh: kelas melebihi 35 murid) di Tahun 1 dan 2.
Perkongsian dan Jaringan
Guru –
sinergi dalam kalangan guru amat penting untuk berkongsi pengalaman dan
pengetahuan tentang P&P yang terkini dan berkesan.
Kepimpinan Sekolah – Guru Besar dan Pengetua
akan diberi lebih banyak pendedahan tentang peranan mereka sebagai pengurus
kurikulum. Mereka perlu memahami matlamat dan kehendak kurikulum Bahasa
Inggeris dan turut merancang program yang sesuai untuk mencapai objektif yang
ditetapkan. Jawatan Penyelaras BI akan diwujudkan di peringkat Jabatan
Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah. Program seperti English Camp
atau English Village akan dijalankan secara berterusan.